Guan Eng: Rais seharusnya tidak berbohong seperti Utusan
![]() Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim telah membuat kenyataan palsu yang berbahaya bahawa program rasmi yang dihadiri beliau di Pulau Pinang hanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Mandarin. Rais seharusnya tidak berbohong seperti Utusan Malaysia; sebaliknya beliau harus membuktikan mana satu program rasmi anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang meminggirkan Bahasa Malaysia. Saya mengesyaki bahawa program rasmi yang dirujuk oleh Rais adalah satu program di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang di mana beliau menjadi tetamu kehormat mewakili Perdana Menteri Najib Razak pada 29 September 2011. Saya ingin mengingatkan Rais bahawa Kolej Han Chiang merupakan kolej swasta dan program tersebut dianjurkan oleh Han Chiang dan bukannya Kerajaan Negeri. Sebaliknya Rais memilih untuk tidak berlaku adil dengan menyalahkan Kerajaan Negeri untuk program yang dianjurkan oleh sebuah kolej swasta. Kenyataan palsu terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini jelas bertujuan untuk memainkan sentimen perkauman kononnya Pulau Pinang tidak menghargai Bahasa Malaysia. Kenyataan sebegini tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional. Rais turut menggesa orang Melayu di Pulau Pinang supaya membangkitkan isu tersebut. Jika Rais boleh membuktikan mana satu program rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pianng yang dihadiri beliau tidak menggunakan Bahasa Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan bagi membetulkan kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun sekiranya beliau gagal untuk membuktikannya, maka beliau harus menarik balik dan meminta maaf atas kata-kata tersebut. Jika tidak, beliau akan dituduh sebagai seorang yang tidak bermaruah dan yang bersikap perkauman kerana cuba membangkitkan sentimen perkauman. Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan kekecewaan terhadap percubaan sistematik dan bersiri yang dilakukan untuk melemahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja berbau perkauman tetapi juga jelas merupakan satu pembohongan. Walaupun pilihan raya umum dijangkakan menjelang tiba, pembangkitan isu perkauman bukan sahaja satu cubaan terdesak tetapi juga perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan masyarakat. Walaupun BN mahu menang dalam pilihanraya umum akan datang, kemenangan ini harus bermaruah dan berdasarkan kebenaran, bukan pembohongan. Saya terkejut dengan serangan terbaru BN terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan peribadi saya sendiri. Saya tidak akan membalas serangan peribadi Rais terhadap saya. Serangan Rais ini mengekori laporan merapu dalam The New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia pada 2 Oktober 2011 bahawa ada kemungkinan yang saya telah mendedahkan rahsia negara kepada pemimpin Singapura dalam satu majlis makan malam. Laporan tersebut turut mempersoalkan kesetiaan saya kepada negara. Datuk Seri Rais, bola berada di gelanggangmu. Apa kata anda? *Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sapa-sapa nak komen boleh komen. Tapi Haji Lee Copper tak bertanggungjawab atas komen-komen anda. Apabila anda komen bermakna anda yang bertanggungjawab dan sanggup terima akibat dari komen anda.