MB Kedah: Orang luar jangan campur urusan Kuin
ALOR SETAR - Orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) kerana pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.
Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sepatutnya, pakar perlembagaan itu lebih mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.
“Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Azizan diminta mengulas kenyataan Aziz dalam Wacana Sinar Harian kelmarin yang mencadangkan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan terhadap Azizan kerana menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu mendesak akta tersebut dimansuhkan.
Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar denda.
Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.
Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media.
Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.
Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda.
"Kita tidak mahu melayan sebarang isu itu kerana mahkamah sudah menetapkan hukuman setimpal ke atas pelajar terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sapa-sapa nak komen boleh komen. Tapi Haji Lee Copper tak bertanggungjawab atas komen-komen anda. Apabila anda komen bermakna anda yang bertanggungjawab dan sanggup terima akibat dari komen anda.