Isnin, 23 November 2009

Pajak Gadai Islam Dipecah Masuk Hampir RM8 Juta Lesap

KANGAR: Perompak melarikan barangan kemas dan wang tunai bernilai hampir RM8 juta, dipercayai antara yang terbesar di negara ini, selepas memecah masuk kedai pajak gadai Ar-Rahnu milik Yayasan Islam Perlis (YIPs), di Taman Sena di sini, malam kelmarin.

Semua barangan kemas bernilai kira-kira RM7.7 juta dan wang tunai RM68,000 yang disimpan di dalam beberapa kabinet di dalam bilik kebal pajak gadai itu, dipercayai dilarikan antara tengah malam kelmarin dan 11 pagi semalam.

Kumpulan penjenayah terbabit memecah masuk premis itu selepas mengumpil pintu dan jeriji besi di bahagian belakang bangunan berkenaan.

Perompak itu kemudian dipercayai menggunakan gerudi menebuk satu lubang besar pada dinding bilik kebal pajak gadai berkenaan sebelum masuk ke ruang itu dan melarikan semua barangan kemas dan wang tunai yang disimpan di dalamnya.

Sebelum memecah masuk, kumpulan itu juga dikatakan memotong kabel penggera keselamatan dan talian telefon yang dipasang di premis berkenaan.

Mengikut sumber, lubang yang ditebuk pada dinding bilik kebal berkenaan boleh meloloskan badan bersaiz sederhana.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana kejadian itu masih dalam siasatan.

Berdasarkan maklumat awal katanya, pengurusan kedai pajak gadai itu menganggarkan jumlah kerugian dialami mencecah RM8 juta iaitu membabitkan wang tunai dan emas yang digadai pelanggan.

"Buat masa sekarang, kita sedang mengumpulkan maklumat mengenai kes ini, termasuk mengenal pasti identiti suspek berdasarkan persamaan dalam modus operandi dengan beberapa kejadian di negeri lain," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan malam hari dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop Perlis iaitu 04-9711999.

Hujung tahun lalu, Ar-Rahn milik Kumpulan Permodalan Kelantan Berhad anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan, dirompak barangan kemas bernilai kira-kira RM18 juta yang disimpan dalam 238 peti simpanan.

Berita Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sapa-sapa nak komen boleh komen. Tapi Haji Lee Copper tak bertanggungjawab atas komen-komen anda. Apabila anda komen bermakna anda yang bertanggungjawab dan sanggup terima akibat dari komen anda.