Kebanyakan yang jadi ustaz sekarang ini, lebih-lebih lagi yang berumur 40 tahun ke atas adalah yang kurang cerdik. Mereka ini adalah generasi belajar di sekolah agama kerana tiada pilihan. Mereka menjurus kepada pengajian Islam dari peringkat menengah dan yang bernasib baik boleh berkeliaran di Canselori atau di Student Centre dalam universiti, bukan kerana mereka briliant. Tapi kerana terpaksa dan sedikit usaha.
Pada tahun-tahun 70an dan 80an dahulu, ada peperiksan darjah 5 untuk menentukan pencapaian pelajar sekolah rendah. Pada masa itu pelajar yang mendapat keputusan yang baik 5A, 4A dan 3A akan diambil untuk memasuki sekolah asrama penuh. Bakinya akan meneruskan persekolahan di sekolah harian biasa.
Manakala yang agak nakal dan jahat, ibu bapa yang melihat potensi anak mereka akan menjadi penyangak dan samseng akan mencari sekolah-sekolah agama untuk dimasukkan anak mereka dengan harapan anak mereka menjadi manusia yang berguna. Kononnya kalau tak dapat jadi doktor dan engineer, boleh menjadi ustaz pun tak apalah. Itulah harapan ibu bapa!
Budak-budak yang kurang cerdik ini akan berlajar di sekolah agama bukan kerana kemahuan mereka, tapi kerana terpaksa. Mereka berhempas-pulas struggling untuk belajar ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab. Bayangkan pelajar yang biasa-biasa atau so-so saja perlu belajar pelajaran yang susah yang tak sepatutnya dilalui oleh mereka, di mana sepatutnya dipelajari oleh yang cerdik dan pintar
Mereka tidak menjiwai ilmu Islam itu. Oleh itu mereka hanya jadi penghafal sahaja.Mereka belajar sekadar lulus peperiksaan hingga mereka boleh layak ke universiti seperti Al Azhar atau di dalam negeri dan melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang mereka mampu.
Di universiti, mereka ini menjadi mahasiswa yang bukan menggunakan otak dan akal fikiran dengan sepenuhnya, tetapi mengulangi perangai dan sikap semasa peringkat menengah iaitu mengingat dan menghafal pelajaran saja. Setelah tamat dan membawa balik sekeping atau segulung ijazah mereka ini akan diberi gelaran oleh masyarakat sebagai "ustaz".
Ustaz-ustaz inilah yang ramainya berkerja dengan kerajaan sebagai guru agama di sekolah-sekolah, menjadi pegawai-pegawai celup jika masuk tentera dalam Kor Agama (Kagat), menjadi pegawai agama di Jabatan-jabatan Agama Islam dan menjadi hakim di Mahkamah Syariah.
Ada pula yang meneruskan kerjaya sebagai guru sekolah agama rakyat dan ramai juga yang menjadi penggiat politik. Kebanyakan mereka bergiat dalam politik pembangkang iaitu PAS.
Kekurangan pada lulusan-lulusan agama yang kurang memakai otak ini dapat dilihat dan terserlah jika kita lihat kepada:-
- Jabatan Agama di semua negeri termasuk Jakim. Mereka ada Bahagian Dakwah. Tetapi bagaimana kegiatan dakwah jabatan tersebut? Apa idea-idea baru yang dilontarkan untuk mengenalkan Islam kepada Bukan Islam? Itu belum ditanya berkenaan stastistik mengenai bilangan penganut baru dan bagaimana mereka menjaga dan mendidik mualaf-mualaf ini. Ini belum termasuk pengurusan wang zakat yang dikutip tiap-tiap tahun dan bagaimana mereka membahagikannya.
- Bagi yang mengajar di sekolah-sekolah pula, mereka mengajar murid-murid mengikut silibus dan mengikat diri mereka dengan silibus tersebut tanpa mencari idea-idea baru supaya murid-murid dapat menerima Islam dan dibukakan mindanya ke arah Islam. Masalah disiplin pelajar hingga kini tidak selesai. Ada sekolah di mana guru biasa lebih menonjol keislaman dari guru agama.
- Manakala penggiat politik kebanyakkannya bersama Parti Islam Se Malaysia - PAS. Mereka bergiat dalam PAS di semua peringkat. Oleh sebab mereka ada gelaran ustaz, maka kebanyakan mereka diberi jawatan dan dengan gelaran ustaz juga mereka bergiat dalam Dewan Ulamak.
PAS menerima Kepimpinan Ulamak adalah suatu yang baik. PAS telah meningkatkan status ulamak. Tetapi yang tidak baiknya golongan-golongan yang dikategorikan sebagai ulamak itu yang kurang baik. PAS dibanjiri oleh ramai ustaz-ustaz atau "the so called ulamak" yang kelayakannya hanya di atas kertas dan cakap-cakap politik kosong yang tidak berpijak di alam nyata. Ulamak gagal menonjolkan diri mereka yang sepatutnya.
Mereka ini semua tidak ada idea, malas berfikir, suka mengikut acuan perjuangan orang dari negara lain, suka menjatuh hukum sebelum berfikir dan akan terkapa-kapa apabila disoal "hukum" yang dijatuhnya itu. Apabila mereka tidak dapat berhujah politik yang bernas, mereka akan mencari dalil-dalil Al Quran dan Hadith bagi menakutkan penentang dan membelenggu pengikut mereka, serta menganggap pengikut mereka adalah sekawan kambing yang akan mengikut gembala.
Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang celik tentunya dapat melihat situasi ini. Mereka boleh membandingkan kerja-kerja pemimpin PAS yang bukan dari golongan agama dengan para ulamak dan ustaz ini. Pemikiran, kerja buat dan gerak kerja mereka berbeza. Mereka tahu menggunakan otak. Mereka tahu membawa diri dan mereka tahu bila masanya untuk bertindak.
Sekiranya PAS masih berharap pada majoritu ulamak dan ustaz ini, PAS tidak akan ke mana dan tidak akan sampai ke tahap ini seperti sekarang. Lihatlah yang banyak mengungkit dan membangkitkan hal-hal yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat di dalam Muktamar yang baru berlalu adalah dari golongan ulamak.
Mengapa jadi sedemikian. Apakah mereka ini nak menonjolkan diri yang tak seberapa? Atau adakah mereka ini bebal dalam berpolitik hingga tidak tahu yang mana boleh dilaung dan yang mana mesti dibisikkan.
Lihat kepada Dewan Pemuda, diketuai oleh seorang ulamak muda yang rupanya macam orang mewah makan berlebihan. Penampilan dan gayanya tidak boleh menarik anak-anak muda untuk bersama PAS. Anak muda sertai PAS sebab mereka condong kepada Islam, bukan kerana ketokohan ketuanya.
Pemuda PAS sekarang ini adalah yang paling mandom, lemah dan lembik. Nasib mereka baik kerana kelemahan dan kelembikan itu tidak terserlah, kerana kini parti itu kuat. Bagaimana jika keadaan ini 30 tahun dahulu? Tentunya Ketua Pemuda PAS hanya akan jadi bahan lawak dan gurauan saja. Timbalan ketua yang juga dari susur galur yang sama telah menambahkan lagi kemandoman Pemuda PAS. Jika keadaan ini berterusan Pemuda PAS akan lebih jauh ketinggalan dari anak-anak muda dari parti rakan dalam PR.
Dewan Ulamak dan ketuanya tidak payah diceritakan lagi. Semua tahu. Beliau bersama Presiden (yang juga ulama) adalah ahli politik yang gagal. Failed. Diulang lagi, Ketua Dewan Ulamak PAS dan Presiden PAS adalah ahli-ahli politik yang telah gagal. Mereka telah diberi peluang berkuasa di Terengganu dan hanya bertahan sepenggal sahaja.
Mengapa terjadi begitu? Seribu satu alasan boleh diberi. Boleh salahkan musuh politik. Tapi adakah dicermin diri punca-punca musuh politik boleh merampas kuasa dari tangan. Sepatutnya apabila telah kalah di Terengganu, Tuan Presiden dan Tuan Ketua Ulamak cepat-cepat letak jawatan. Ambil tanggung jawab. Anda telah gagal tapi masih ingin berkuasa dalam parti, nasib baik di Malaysia dan ahli PAS masih boleh dicucuk hidung!
Biar parti berketuakan orang lain dan biarkann ulamak juga berketuakan orang lain. Tuan-tuan berdua patut kembali mengajar di madrasah dan turun ke laut sebagai nelayan dan menjaga kambing yang berkandang-kandang itu.
Kutukan ini bukanlah berniat jahat tetapi menegur dan memperingatkan pemimpin PAS, terutamanya yang merasa mereka lebih warak dan alim dari orang lain. Mungkin teguran ini agak kasar tetapi kadang-kadang kekasaran adalah perlu untuk mengejutkan orang yang "perasan" dan masih diselimuti mimpi.